SIAPA DIA (2025) - Directed by GARIN NUGROHO (Indonesian)

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

560172169_10164298674446042_4314083827581011433_n.jpg

SINOPSIS (IMDb)
Layar (Nicholas Saputra), seorang bintang filem popular yang merasa bosan dengan kareer beliau, mahu membikin satu teater musikal mengenai sejarah keluarganya juga yang berkait dengan sejarah perfileman Indonesia.

REVIEW
Salah satu perkara dalam filem yang saya amat rindui adalah dari segi musikalnya. Ia adalah satu element penting yang boleh mengangkat dan lebih men’drama’kan lagi sesuatu babak. Lagu tema juga penting. Lebih-lebih lagi dari filem-filem klasik Hollywood contohnya Star Wars, Jurassic Park dan Back To The Future. Dan juga dari filem-filem animasi Disney seperti Lion King dan Tarzan. Filem Hollywood musikal baru kesukaan saya adalah La La Land berkata tentang subjek industri perfileman di Hollywood, dan juga, kehidupan sebagai anak seni.

Tidak usah la diperkatakan tentang filem-filem Bollywood dan Tamilwood. Filem dan musikal bagi mereka berpisah tiada.

Di Malaysia, saya terus terfikir tentang Upin dan Ipin Keris Siamang Tunggal yang menggunakan khidmat orkestra untuk majoriti babak dari filem tersebut dan juga soundtrack. Dari tahun 1995, Pak Hassan Muthalib dengan Silat Lagenda dan kompilasi album soundtrack dengan penyertaan artis-artis terkenal tanahair. Lagu tema yang ikonik kekal di memori hingga kini. Filem Spilt Gravy yang ada lagu ala-keroncong yang dibuat khas. Tapi ya. Musik dalam filem memang penting. Tapi saya lihat kebanyakkannya hanya tertumpu pada segi visual.

Baru-baru ini Al-Jafree ada bercakap tentang lagu-lagu yang beliau gunakan, dalam kes ini, filem telemovie, Melur vs Rajawali. Lagu ‘Dipersimpangan Dilema’ oleh Nora yang juga berkait mengenai subjek filem tersebut. Sepanjang menonton filem Siapa Dia kelmarin, musikal pertama Malaysia yang terlintas dalam kepala saya adalah dari arahan Al-Jafree dan juga Dain Said iaitu, Senandong Malam. Tayangan di Ipoh beberapa tahun lepas masih dalam ingatan dan tidak mungkin saya lupakan. Lagu-lagu yang sedap dan juga berkait rapat dengan subjek filem iaitu kehidupan sebagai orang seni, dengan menggunakkan nostalgia kepada filem-filem dan lagu klasik dari zaman P. Ramlee sebagai cerita latar.

Kebetulan pada malam Tayangan Perdana beberapa hari yang lepas, saya dijemput oleh Brando Lee, bersama-sama Pak Hassan Muthalib dan juga Pak Letfee yang pada tahun 2003 terlibat dalam pementasan teater musikal Ronggeng Rokiah di Istana Budaya.

Dalam filem Siapa Dia, pengarah Garin Nugroho dan producer Faizal Lubi tidak bersembunyi tentang subjek yang dibincangkan. Iaitu sejarah perfileman Indonesia, yang amat dipengaruhi oleh peralihan masa dan sosial. Dari zaman Belanda, Perang Dunia Kedua dan juga kemunculan ‘pop culture’. Subjek yang jelas diangkat dengan musikal dan lagu-lagu yang sedap. Ditambahkan pula kesinambungan antara babak-babak dan lagu juga sedap dan tidak sumbang dan pelik. Seluruh filem adalah satu. Dari mula sampai kepenghabisan.

Garin berjaya menarik saya kedalam filem bersama protagonis Nicholas Saputra yang acap kali memecah ‘dinding keempat’ dengan bercerita secara terus dengan tarian dan lagu yang sedap dan menghiburkan. Saya yang sebenarnya masih baru dalam subjek filem baru juga mengenali nama Garin Nugroho. Dan sempat bertemu dengan beliau di sessi tayangan anjuran Pak U-Wei tidak lama dulu. Juga menonton filemnya Bulan Tertusuk Ilalang bersama Pak Hassan Muthalib yang juga berkongsi dengan saya tulisan beliau mengenai filem tersebut.

Dalam filem Bulan Tertusuk Ilalang, pada saya, ceritanya mengundang pada kritikan generasi muda yang kurang mengerti tata susila dalam menuntut ilmu dari seorang guru. Lantas takdir seni warisan itu sendiri akhirnya mati begitu sahaja. Dalam Siapa Dia juga Garin berbicara tentang subjek yang agak sama. Di penutup filem, di tunjukkan watak Layar (Nicholas Saputra) yang mengepalai generasi baru Indonesia dalam mengembangkan lagi sinema tempatan. Di Malaysia bagaimana?

Siapa Dia. Satu persoalan. Mahukan jawapan? Tayangan bermula hari ini dipawagam seluruh Malaysia.

Official Trailer



0
0
0.000
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
0 comments